BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, February 27, 2012

SEJ ASIA- SISTEM ADAT DI JEPUN :)

Hukum adat di jepun

Hukum adat merupakan undang-undang lisan yang diperuntukkan dari satu generasi kepada generasi yang lain melalui pertuturan. Ia merupakan undang-undang awal yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara di Asia. Mengikut sejarah, hukum adat dikaitkan dengan segala bentuk adat resam yang menjadi amalan sesuatu masyarakat. Ia diamalkan secara turun temurun sehingga akhirnya berubah menjadi satu peraturan atau hukum yang harus dipatuhi. Hal ini menyebabkan hukum adat dikenali sebagai sebagai adat resam. Masyarakat tempatan di Jepun sudah memiliki satu sistem masyarakat yang tersusun sebelum abad ke-19  dan hidup berasaskan hukum adat yang menjadi garis panduan dalam kehidupan seharian. Terdapat pelbagai adat yang diamalkan oleh masyarakat Jepun.

Masyarakat Jepun mengamalkan adat chanoyu (adat minum teh). Adat yang diwarisi  sejak abad ke 16 lagi merupakan satu bentuk ritual  yang menjadi amalan  dalam rutin kehidupan seharian. Adat ini mengandungi ritual-ritual tertentu semasa pelaksanaanya,di samping mementingkan etika-etika,alat-alat dan perhiasan dalam bentuk yang ringkas serta teh yang digunakan mestilah teh hijau. Adat ini diamalkan oleh golongan atasan dan rakyat jelata untuk mengalu-alukan tetamu dan bertujuan membersihkan jiwa dan bersatu dengan alam.

Masyarakat Jepun mementingkan sopan santun dan adat aturan,terutamanya dalam kalangan golongan atasan. Antaranya ialah adat berpakaian,budi bahasa ketika berhubung antara satu dengan yang lain,dan kelakuan menundukkan kepala sebagai tanda menghormati seseorang apabila bertemu dengan orang lain kerana ini melambangkan nilai-nilai yang tinggi dalam kalangan masyarakat jepun dan harus menjadi ikutan kepada rakyatnya.

Adat istiadat dalam masyarakat Jepun mementingkan seni dan kecantikan. Adat istiadat diperhaluskan sehingga menjadi satu seni yang indah dan menarik. Hal ini dapat dilihat dalam seni gubahan bunga yang juga dipengaruhi oleh zen Buddhisme. Seni gubahan bunga atau ikebana bukan sahaja gubahan semata-mata, tetapi menyebabkan penggubahnya seolah-olah bersatu dengan alam untuk menggambarkan keharmonian antara syurga,bumi dan manusia. Hal inilah yang ingin dicapai oleh ikebana.

Masyarakat Jepun amat menghormati Maharaja. Masyarakat Jepun menganggap Maharaja Jepun mendapat perlindungan daripada dewa dewi. Maharaja Jepun telah mendapat pengiktirafan sebagai ketua negara tetapi baginda tidak mempunyai kuasa pemerintahan. Oleh itu, masyarakat Jepun digalakkan melakukan upacara penghormatan terhadap Maharaja. Masyarakat Jepun amat mementingkan kedudukan gologan bangsawan. Adat menghormati bangsawan ini dapat dilihat dengan member keutamaan kepada golongan bangsawan ketika berjalan. Sekiranya keutamaan ini tidak diberikan, rakyat akan menerima padahnya. Misalnya,perarakan daimyo barat yang berulang alik di jalan Tokaido menuju ke istana Tokugawa di Yedo,daimyo-daimyo tersebut akan diusung di dalam sebuah usungan di tengah-tengah perarakan dan rakyat harus berdiri di tepi jalan memberi penghormatan dengan  berlutut dan sujud di tanah.

Adat perkahwinan juga menjadi amalan dalam masyarakat Jepun. Dalam masyarakat petani,perkahwinan dibuat melalui pilihan kedua-dua pasangan pengantin baru,sementara orang tua hanya bertindak memperakukan perkahwinan. Sebaliknya perkahwinan Miai (orang tengah) lebih popular dalam kalangan golongan bushi(perwira). Dalam perkahwinan miai,orang tengah berusaha memberi kepuasan kepada kedua-dua bilah pihak selain memberi  kaum wanita peluang membuat pilihan. Perkahwinan miai juga dilakukan untuk memenuhi tujuan politik.

Umumnya, masyarakat di Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur dapat mengatur kehidupan mereka dalam  keadaan harmoni dan sejahtera.Sesungguhnya adat telah mencorakkan cara hidup sesebuah masyarakat. Perbezaan adat melambangkan perbezaan budaya dalam sesebuah masyarakat dan secara tidak langsung melambangkan budaya sesuatu bangsa. Namun demikian dengan kedatangan pengaruh luar sedikit sebanyak telah memperkayakan lagi adat tempatan. Peraturan yang dianggap tidak adil dan diluar prinsip kemanusiaan telah dimansuhkan.